PKP: WAO catat peningkatan aduan keganasan rumahtangga

0
117

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) memaklumkan peratusan bilangan panggilan dan aduan menerusi aplikasi WhatsApp meningkat sebanyak 14 peratus susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memetik laporan Berita Harian Online, Pegawai Advokasi dan Komunikasi WAO, Tan Heang Lee, berkata, pertambahan aduan berhubung kes keganasan rumahtangga itu berikutan mangsa dan pelaku mempunyai lebih banyak masa berada di rumah.

“Data yang diterima dari 1 hingga 17 Mac menunjukkan secara purata harian, kami menerima kira-kira 10.5 panggilan dan WhatsApp setiap hari.

“Bagaimanapun, data dari tempoh 18 hingga 31 Mac ketika pelaksanaan Fasa 1 PKP, kami menerima purata 12 panggilan dan WhatsApp sehari.

“Ini bermakna secara keseluruhan, panggilan dan WhatsApp kepada Talian Bantuan WAO meningkat sebanyak 14 peratus sepanjang PKP dilaksanakan yang membabitkan aduan dan pertanyaan daripada pemanggil wanita,” katanya seperti yang dilaporkan.

Menurutnya, kawalan pergerakan, kebimbangan kesihatan dan kewangan memberi kesan terhadap kemahuan untuk mengekalkan kuasa serta mengawal seseorang.

“Keganasan rumah tangga adalah berasaskan kuasa dan kawalan dan faktor ini meningkatkan risiko keganasan rumah tangga.

“Berikutan masih dalam tempoh PKP ini, mangsa akan terkurung bersama pendera dan menyukarkan mereka untuk cuba mendapatkan bantuan disebabkan pergerakan dan gerak-geri diawasi sepanjang masa.

“Begitu juga dengan mangsa yang tidak dapat bekerja sepanjang PKP pula, mereka juga mungkin terpaksa bergantung dari segi kewangan daripada si pendera,” katanya.

Jelasnya lagi, keganasan rumah tangga berlaku akibat ketidakseimbangan kuasa antara pasangan dan keinginan pendera untuk mengawal mangsa.

“Dalam usaha menangani keganasan rumah tangga, tiada sesiapa berhak melakukan keganasan terhadap seseorang, tiada sebarang alasan untuk penderaan dan pasangan perlulah saling menghormati.

“Wanita yang menjadi mangsa boleh menghubungi Talian Bantuan WAO di 03-7956 3488 atau menghantar WhatsApp kepada 018 988 8058,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here