PKP Wilayah Persekutuan dilaksana lebih tegas

0
185
Tan Sri Annuar Musa ketika melihat dan memeriksa pek-pek makanan yang disediakan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan kepada para gelandangan. Sumber : Facebook Tan Sri Annuar Musa

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan akan dilaksanakan dengan lebih tegas.

Memetik kenyataan yang dimuatnaik di Twitter, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata ia sebagai usaha bagi melindungi warga wilayah daripada penularan jangkitan Covid-19.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memberi bayangan kita perlu bersedia berkorban lebih lama dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Kita percaya prosedur operasi standard (SOP) dan panduan terperinci akan segera di keluarkan.

“Sementara itu kita akan pastikan pelaksanaan PKP yg lebih tegas di Wilayah Persekutuan bagi melindungi warga wilayah,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan pihaknya mengenal pasti  terdapat satu kluster mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali.

Menurutnya, kegagalan memaklumkan sejarah kontak rapat atau perjalanan ke luar negara kepada pengamal perubatan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, setakat semalam empat kawasan di Kuala Lumpur iaitu Cheras, Kepong, Titiwangsa dan Lembah Pantai dikategorikan sebagai kawasan merah selepas mencatatkan secara keseluruhan 622 kes positif Covid-19.

Dalam pada itu, Putrajaya pula menghampiri kategori merah apabila mencatatkan sebanyak 37 kes manakala Labuan masih dalam kategori kuning iaitu 11 kes jangkitan.

Mengikut rekod KKM, mana-mana daerah mencatat 41 kes positif Covid-19 ke atas akan dikategori sebagai kawasan merah. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here