PKPD ke 7 dilaksanakan di Selayang Baru, Gombak

0
101

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketujuh di Selayang Baru, Gombak dilaksanakan berkuatkuasa hari ini sehingga 3 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlaksanaan PKPD yang melibatkan enam parcel itu bertujuan membendung jangkitan Covid-19 setelah mengambil kira kebarangkalian jangkitan di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Zon A melibatkan lokasi diJalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak. Zon B di Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru.

“Zon C di Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak. Zon D di Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru, Gombak.

“Zon E di Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru, Gombak. Zon F di Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, langkah ini diambil bagi membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Bermakna semua penduduk akan dibuat saringan bagi memastikan mereka benar-benar bersih dari jangkitan Covid-19.

“Seperti biasa, prosedur operasi standard (SOP) PKPD iaitu semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut dan penduduk dari luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut. Semua laluan keluar masuk kawasan tersebut ditutup kepada semua.

“Semua aktiviti perniagaan diberhentikan dan pengakalan perubatan akan dibuka di kawasan tersebut bagi proses pemeriksaan kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Justeru beliau meminta agar semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Pagi ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun telah turun padang bagi memastikan bantuan bekalan makanan diagihkan secara teratur di kawasan PKPD ini.
 
“Bantuan keperluan makanan asas telah mula diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan dibantu petugas agensi-agensi berkaitan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here