PKPD keempat di Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion

0
124

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) keempat telah dilaksanakan di Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Menurutnya, tindakan tersebut dilaksanakan berikutan pengesanan 15 kes positif jangkitan Covid-19 di dua bangunan tersebut.

“Di atas nasihat Menteri Kesihatan, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD yang ke empat di Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Selangor Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

“PKPD ini akan melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan berkuatkuasa hari ini sehingga proses pengesanan kes dari unit ke unit selesai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKPD saringan wajib kepada setiap penghuni yang menetap di kawasan itu akan dilaksanakan.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) setiap penghuni mesti berada di dalam unit masing-masing tidak boleh keluar malah orang luar pun tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu di mana semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di bangunan tersebut. Penghuni juga boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar dan diambil di tempat yang telah ditetapkan

“Jadi saya amat berharap supaya penghuni mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan saya juga meminta orang luar yang mungkin mempunyai kawan-kawan atau saudara mara di situ supaya tidak mengunjungi kawasan tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kualan Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here