PKPD keenam di Pusat Bandar Utara, Pasar Borong KL

0
105
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 3 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, PKPD keenam itu membabitkan lapan parcel di kawasan terbabit.

Katanya, kawasan itu membabitkan adalah Parcel A: Jalan 6/3A, Parcel B:Jalan 6/3A dan 9/3A, Parcel C: Jalan 2/3A serta Parcel D: Jalan 2/3A.

Menurutnya, parcel lain adalah Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D; Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D; Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B dan Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

Ismail Sabri berkata, PKPD itu dilaksanakan bagi membendung jangkitan Covid-19, sekali gus membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD itu berkuat kuasa.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata, PKPD itu tidak membabitkan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pasar Borong Selayang sekali gus ia tidak akan menjejaskan bekalan barangan dan makanan dari pasar itu.

“Kita menutup kawasan perumahan terutama ramai rakyat Rohingya pemegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) di kawasan itu, manakala pasar borong dibuka seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2212. – MBNews.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here