Plaza Stesen LRT Masjid Jamek ditutup sementara

0
147

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd., mengumumkan kesemua pintu keluar masuk Plaza Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek yang terletak bersebelahan OCBC Bank dan Bank Muamalat ditutup sementara bermula hari ini sehingga 28 April.

Prasarana Malaysia Berhad untuk Rapid Rail dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan sementara ini adalah berikutan perluasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Masjid India.

“Bagaimanapun, pintu keluar atau masuk Stesen LRT Masjid Jamek yang terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek masih dibuka dan perkhidmatan LRT akan beroperasi mengikut waktu operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya atau Laluan Ampang/ Sri Petaling hanya boleh membuat penukaran tren sahaja di Plaza Stesen LRT Masjid Jamek.

“Manakala bagi pengguna yang ingin ke atau dari arah Sentul Timur, mereka dinasihatkan untuk mengguna terowong sambungan di stesen tersebut bagi membuat penukaran serta untuk keluar atau masuk melalui bahagian stesen (bersebelahan Masjid Jamek) yang tidak ditutup”, menurut kenyataan itu.

Prasarana berkata, langkah itu diambil bagi membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan pergerakan orang awam yang tidak sepatutnya pergi ke kawasan terlibat.

Orang awam diingatkan agar sentiasa mematuhi PKP, menjaga jarak sosial yang telah ditetapkan serta merancang perjalanan berikutan penutupan sementara ini.

Untuk maklumat, layari akaun media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here