Polis, ATM kawal Pasar Borong Selayang

0
130
Sejak polis dan ATM menguatkuasakan PKP di Pasar Air Itam, Pulau Pinang, tahap pematuhan yang ditunjukkan semakin positif

CYBERJAYA – Berkuat kuasa esok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditempatkan di Pasar Borong dan Pasar Basah Selayang berikutan tahap pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi berkenaan masih gagal dipatuhi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya mendapati sehingga kini masih ramai yang bersesak dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan satu meter ditetapkan.

“Keputusan mesyuarat pagi ini ialah supaya diletakkan polis dan tentera supaya pematuhan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Basah Selayang dikuatkuasakan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pelaksanaan PKP hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihaknya yakin dengan penguatkuasaan lebih tegas keadaan sesak di lokasi tersebut dapat diatasi.

“Isu sama dibangkitkan di Pasar Air Itam, Pulau Pinang sebelum ini, saya dimaklumkan oleh PDRM, mereka yang ke Pasar Air Itam sudah mematuhi perintah dan SOP dikeluarkan Kementerian kesihatan (KKM) dan polis.

“Jadi kita akan pastikan pasar di Selayang ini juga mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh perkembangan berkaitan, katanya, pihak Kementerian Luar sedang berusaha untuk membawa pulang segera rakyat Malaysia yang terperangkap di India sejak beberapa hari lalu.

Menyentuh mengenai isu geladangan pula, Ismail Sabri berkata, terdapat laporan yang mendakwa bahawa nasib golongan itu dipinggirkan adalah tidak benar.

Jelasnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menempatkan golongan tersebut di tiga lokasi ditetapkan dengan turut menyediakan makanan dan minuman.

Sementara itu, mengulas mengenai rungutan orang ramai mengenai harga bekalan makanan yang mahal, beliau meminta supaya pihak berkenaan menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan dan tindakan lanjut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here