Polis siasat pesta Songkran libatkan warga asing di Sepang

0
132
Sekumpulan warga asing dipercayai pekerja kilang di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menganjurkan pesta Songkran semalam

SHAH ALAM – Polis Selangor mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung sekumpulan pekerja warga asing dipercayai di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikatakan mengadakan pesta ‘Songkran’ semalam.

Memetik laporan Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, siasatan dibuat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu kecuaian yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa.

“Pihak polis Selangor sahkan ada menerima maklumat tersebut, yang mana disiarkan melalui Facebook dan video rakaman itu berdurasi 30 minit memaparkan beberapa warga asing yang merayakan perayaan ‘Songkran’.

“Kita sahkan memang ada satu siasatan dibuat. Tindakan sedang dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar IPK Selangor mengenai perkembangan Ops Covid-19 di Selangor.

Yazid berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada tangkapan kerana kes itu sedang dalam siasatan.

Sebelum itu, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan menerima maklumat mengenai pesta berkenaan yang diadakan di pekarangan asrama kilang pekerja terbabit.

Sebuah video berdurasi lebih 30 minit yang tular di media sosial menunjukkan kumpulan pekerja asing menari sambil menyanyi dipercayai meraikan festival air atau lebih dikenali sebagai Songkran.

Menurut maklumat pada video berkenaan, mereka adalah pekerja di sebuah kilang sarung tangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here