Polis tambah sekatan jalan raya, rondaan dan pemeriksaan mengejut

0
208

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA -Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan menambah operasi sekatan jalan raya dan aktiviti rondaan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri berkata, penambahan operasi sekatan jalan raya itu boleh dilakukan selepas kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan membantu polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara.

“Selepas ini polis akan membuat penambahan sekatan jalan raya di seluruh negara hasil kerjasama baharu dengan JPJ.

“Polis juga boleh menambah aktiviti rondaan serta pemeriksaan mengejut dan sebagainya, ” katanya dalam sidang akhbar mengenai PKP hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan, kadar pematuhan PKP oleh rakyat Malaysia ketika ini masih pada kadar 97 peratus.

” Polis dan ATM telah mengadakan 775 sekatan jalan raya di seluruh negara dan sebanyak 508,605 kenderaan telah diperiksa.

“Polis juga telah melakukan 38,854 pemeriksaan mengejut dan 5,538 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu menurut Ismail Sabri, polis telah menahan 666 individu yang ingkar PKP.

“Daripada jumlah itu, 392 individu telah dikompaun sebanyak RM1000, 263 telah direman dan 11 individu dijamin polis,” katanya.

Pada masa sama beliau memaklumkan bermula 18 Mac lalu seramai 7479 individu telah ditahan kerana ingkar PKP.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here