Prestasi pelaburan MUIS memuaskan tapi tidak diurus dengan cekap

0
219
Bangunan Wisma MUIS di Kota Kinabalu, Sabah.

KOTA KINABALU – Prestasi pelaburan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) secara keseluruhannya memuaskan berikutan pulangan yang menyumbang kepada kemantapan kewangan agensi itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 siri kedua.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan semalam, penyata kewangan MUIS bagi tahun 2016 hingga 2018 menunjukkan jumlah pulangan daripada pelaburan menyumbang antara RM7.47 juta hingga RM18.01 juta, iaitu 9.7 peratus hingga 17.7 peratus daripada keseluruhan pendapatan MUIS bagi tempoh tiga tahun itu.

Bagaimanapun, pengauditan dijalankan antara Oktober 2018 hingga Januari 2019 mendapati pelaburan tidak diurus dengan cekap dan berkesan oleh MUIS dari aspek tadbir urus, pelaksanaan dan pemantauan.

“Pemantauan lemah terhadap pelaburan menyebabkan MUIS melabur di syarikat mengalami kerugian, tunggakan hasil sewa pelaburan hartanah meningkat dan pulangan usaha sama diterima tidak setimpal,” menurut laporan berkenaan dipetik Bernama hari ini.

Bagi mengatasi kelemahan berbangkit seterusnya memastikan perkara sama tidak berulang dalam pengurusan pelaburan pada masa akan datang, audit itu turut mengesyorkan MUIS mengambil beberapa tindakan termasuk mewujudkan dan mematuhi garis panduan serta peraturan ditetapkan berkaitan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan aktiviti pelaburan.

MUIS disyorkan untuk memastikan setiap pelaburan yang akan dilaksanakan melalui prosedur ditetapkan seperti mendapat kelulusan Majlis Tertinggi MUIS, Kementerian Kewangan Sabah dan Kabinet negeri untuk memastikan pertimbangan dan kelulusan yang sewajarnya telah diberikan.

MUIS juga disaran menyediakan pelan perancangan pelaburan dari segi penetapan sasaran dan pulangan, penggunaan aset pelaburan agar digunakan mengikut tujuan pelaburan.

“Kajian kos dan faedah, kajian kemungkinan dan ‘due diligence’ perlu dibuat untuk memastikan cadangan pelaburan berkeupayaan mendatangkan pulangan menguntungkan kerajaan. Ia juga dapat menjamin ketelusan dalam proses pemilihan syarikat yang akan menjalinkan usaha sama dengan MUIS,” menurut laporan itu.

MUIS juga perlu meningkatkan usaha untuk mengutip tunggakan hasil pelaburan dan mengambil tindakan proaktif untuk memastikan hartanah yang belum disewa dan diusahakan diambil tindakan segera bagi menjana pulangan sewajarnya.

Syor seterusnya adalah melantik ahli Jawatankuasa Pelaburan dan memastikan peranannya dilaksanakan dengan berkesan agar setiap cadangan pelaburan mendapat pandangan sewajarnya.

Jawatankuasa Pelaburan juga hendaklah memantau prestasi pelaburan secara berkesan bagi memastikan objektif pelaburan tercapai dan isu berbangkit diselesaikan dengan segera, menurut laporan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here