Produk BMF dapat permintaan tinggi sepanjang PKP

0
675

CYBERJAYA – Walaupun pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berdepan cabaran sukar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih ada sebahagian pemilik produk menerima kesan positif terhadap jualannya.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, beliau tidak menafikan tempoh PKP memberi cabaran sukar kepada pengusaha IKS, terutama dalam sektor makanan yang mungkin terpaksa mengurangkan kos operasi.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih ada beberapa sektor yang masih kekal seperti sebelum ini, bahkan dimaklumkan terdapat pengusaha atau pemilik produk menerima peningkatan permintaan sehingga lebih 40 peratus daripada biasa.

“Agak hairan apabila sebelum PKP jualan mereka biasa sahaja, tetapi tempoh PKP meningkat 40 peratus. Bermakna, dalam sudut kempen Beli Produk Muslim (BMF), memang ada permintaan sangat tinggi terhadap produk-produk keluaran umat Islam.

“Bagaimanapun, seperti yang saya beritahu memang ada sebahagian sektor mungkin terpaksa menghentikan operasi kerana pelbagai faktor, seperti pembungkusan dan sebagainya,” katanya dalam temubual Pertiwi Eksklusif seperti dipetik portal Ismaweb.net.

Ditanya mengenai operasi Malakat Mall – pusat membeli-belah yang menghimpunkan ribuan produk keluaran muslim – Mohd Nor Izzat berkata, pihak pengurusan pengurusan telah mengaktifkan kaedah penghantaran menerusi ‘Malakat Delivery’ sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata, walaupun Malakat Mall baharu dibuka tahun ini, sambutan yang diterima daripada umat Islam dan penyokong BMF sangat memberangsangkan, termasuk dalam tempoh PKP.

“Dalam tempoh PKP ini, kami telah maklumkan kepada semua rangkaian-rangkaian muslim kita supaya aktifkan kaedah penghantaran. Malakat Mall adalah satu satu usaha yang berjaya melawan arus waktu PKP.

“Sekarang kita cuba berikan satu perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh umat Islam terutamanya untuk mengaktifkan penghantaran selaras arahan Kerajaan Malaysia supaya kekal di rumah,” katanya.

Malakat Mall di Cyberjaya mempunyai keluasan lebih dari 13006.43 meter persegi selain terdiri daripada tiga blok bangunan empat tingkat, dan menyasarkan lebih 15,000 pelanggan dalam tempoh sebulan pertama.

Malakat Mall adalah satu-satunya pusat beli-belah di negara ini yang mempraktikkan amalan patuh syariah dan menghidupkan syariat Islam seperti laungan azan, solat berjemaah dan solat Jumaat.

Antara keistimewaan pusat beli-belah ini ialah konsep ‘7 minit Solat Break’ iaitu peniaga dan pengunjung bebas bersolat di semua kawasan Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here