Produk usahawan Muslim tidak dipinggirkan

0
234

RAUDHAH CITY – Pengasas Raudhah Grocer, Mohd. Fadzil Hashim menepis dakwaan segelintir pihak bahawa pasar raya itu tidak menjual 100 peratus produk usahawan Muslim.

Beliau berkata, masalah dihadapi pihaknya adalah pembekalan daripada usahawan Muslim yang tidak mampu menampung kapasiti tinggi daripada permintaan pengguna.

Beliau menjelaskan, produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama usahawan Muslim tidak mencukupi apabila mereka mengambil masa menghantar bekalan tersebut.

“Kita memang komited dan itu (produk BMF) sedang diperjuangkan. Ini bukan sekadar gimik pemasaran. Cuma masalah kita adalah pembekalan. Setakat ini 80 peratus produk usahawan Muslim berada dalam Raudhah Grocer.

“Apabila ramai yang menyokong BMF mereka tidak mampu menghantar produk masing-masing. Maka kita tidak boleh biarkan ruang di pasar raya itu dibiarkan kosong,” katanya dalam siaran langsung melalui akaun Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian selepas segelintir warga maya mempertikaikan produk yang terdapat di Raudhah Grocer kerana dikatakan terdapat produk bukan usahawan Muslim di dalamnya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil menambah, bagi mengisi kekosongan di ruangan tersebut, produk bukan usahawan Muslim tetapi mempunyai sijil halal sah ditempatkan di situ.

Tambah beliau, ini kerana pihaknya tidak mahu mengecewakan pelanggan yang datang dari jauh untuk berbelanja di pasar raya tersebut.

“Ada kalanya terdapat barangan yang terputus bekalannya maka terpaksa dapatkan produk bukan Muslim tetapi yang pasti adalah halal,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana bantuan untuk golongan B40 diteruskan setelah mendapat kelulusan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Malaysia (APM). 

Menurut beliau, golongan itu kini semakin kesempitan berikutan sumber kewangan mereka semakin terhad dan pihaknya tampil bagi meringankan beban tersebut.

“Pada waktu sekarang ini terdapat golongan B40 yang kelaparan. Main peranan anda masing-masing dengan sedekah,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di www.sadaqahmarket.com . – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here