Proses penghantaran pulang pelajar bermula Isnin ini

0
91

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu proses penghantaran pulang bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus ke rumah masing-masing bermula 27 April ini.

Menurutnya, penghantaran itu akan dilakukan secara berperingkat di mana perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran.

“Pergerakan secara berperingkat hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja. Pelajar yang terlibat akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan dan topeng muka.
 
“Kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam bas,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, pelajar akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang terdekat dengan rumah masing-masing.

“Mereka kemudian akan dihantar ke rumah oleh anggota agensi kerajaan yang ditugaskan.

“Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan hanya seorang dibenarkan untuk setiap kenderaan.
 
“Sebelum membuat perjalanan, mereka perlu mendapat surat kebenaran pergerakan dari pihak IPT dan balai polis yang berhampiran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here