“Rai Ramadan bersama keluarga di rumah” – KP Kesihatan

0
79

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Umat Islam di negara ini diseru untuk menggunakan masa sepanjang bulan Ramadan dengan menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, salain dapat meraikan Ramadan bersama keluarga tersayang di rumah, langkah ini juga membantu dan melindungi ahli keluarga daripada dijangkiti penyakit Covid-19.

“Mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan Covid-19 dalam Kluster Pengerang dan Sub-kluster Rembau, masyarakat diminta untuk kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan elak daripada melakukan sebarang aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan dan sanak saudara.

“Penularan pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang sangat ketara terhadap amalan dan norma kehidupan seharian kita termasuklah perubahan kepada cara amalan keagamaan dan tradisi kebudayaan seperti budaya kunjung-mengunjung, perhimpunan keagamaan dan majlis keraian.

“Tradisi dan amalan ibadat pada bulan Ramadan bagi umat Islam di seluruh dunia juga akan turut terkesan memandangkan banyak negara sedang melaksanakan kawalan pergerakan dan sempadan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di negara masing- masing,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Katanya, jika langkah pencegahan itu tidak dipatuhi, pihaknya khuatir ia akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 di kalangan ahli keluarga terutama kepada golongan warga emas dan kanak-kanak.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan penjagaan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here