Rakyat Malaysia pulang dari luar negara perlu dikuarantin 14 hari

0
127
Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara esok perlu dikuarantin selama 14 hari

CYBERJAYA- Bermula esok semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan diarahkan untuk menjalani proses kurantin selama 14 hari di pusat-pusat kurantin disediakan sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan tersebut terpakai kepada semua rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini sama ada melalui jalan laut, darat dan udara.

“Arahan ini bukan sahaja tertakluk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tapi juga melibatkan semua pintu masuk dalam negara seperti di Johor, Sabah dan Sarawak.

“Mereka semua akan dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan dengan dibawa menggunakan bas yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Menyentuh mengenai prosedur yang akan dilaksanakan, katanya, selepas melalui pemeriksaan imigresen mereka semua akan dibawa menggunakan bas ke pusat kuarantin yang disediakan.

Beliau berkata, di pusat kuarantin tersebut akan ada sebuah task force atau jawatankuasa khas untuk menjaga tahap kesihatan rakyat Malaysia sepanjang tempoh tersebut.

Malah, katanya, kebajikan mereka seperti makan dan minum juga disediakan mengikut saranan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here