Ramadan kali ini bawa kelainan – Sultan Ibrahim

0
65

CYBERJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, bulan Ramadan kali ini membawa suatu kelainan yang tidak pernah umat Islam merasai sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Sultan Ibrahim bertitah, bangsa Johor yang beragama Islam khususnya tidak dapat bertarawih dan membuat ibadah lain di masjid seperti biasa.

Tambah beliau, bangsa Johor yang lain secara amnya pula tidak dapat menikmati bazar Ramadan yang dinanti-nantikan.

“Saya akui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita lalui selama ini tidak mudah untuk semua.

“Ada yang kehilangan orang tersayang dan terjejas pendapatannya. Petugas barisan hadapan mengambil risiko yang besar setiap hari, manakala peniaga-peniaga pula risau bagaimana untuk terus bertahan,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran akaun rasmi Facebook baginda hari ini.

Baginda bertitah, ini sahaja cara untuk rakyat memutuskan rantaian jangkitan virus tersebut dengan secepat mungkin.

“Setelah itu barulah kita semua boleh secara perlahan-lahan meneruskan kehidupan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menyeru umat Islam menggunakan bulan Ramadan ini sebaiknya untuk tingkatkan amal ibadah di rumah, bermuhasabah diri dan bertawakal kepada Allah SWT.

Baginda turut berdoa supaya rakyat dikruniakan keberkatan dan kerahmatan untuk segera bangkit daripada bencana wabak yang melanda kini.

“Kepada bangsa Johor yang bukan beragama Islam pula, berdoalah juga dengan cara anda sendiri untuk kebaikan semua,” titah baginda. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here