Ramadan yang berbeza kali ini

0
168

APA Khabar Orang Kita…tujuh hari lagi umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan, pastinya kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantai Covid-19 di negara ini membataskan segalanya termasuk bertarawih di surau dan masjid.

Perkara berkenaan pasti menjadi sebutan ramai namun, Allah sebenar perancang yang terbaik kerana inilah masanya untuk kita lebih mendalami ilmu agama.

Untuk lelaki, jika sebelum ini sering bertarawih secara berjemaah di surau dan masjid maka, Ramadan kali ini tugas anda pula menjadi imam di rumah.

Hargailah pengalaman ini, kerana ia tidak datang selalu. Anggap segala cabaran pada Ramadan kali ini sebagai cabaran dalam mencari keberkatan ilahi.

Sebelum ini secara tradisi, seminggu sebelum Ramadan, pelbagai persiapan dilakukan bagi memberi keselesaan kepada jemaah yang menunaikan solat sunat tarawih nanti.

Para imam juga membuat persediaan bacaan al-Quran. Tidak lupa para penceramah yang membuat persediaan bagi menyampaikan tazkirah Ramadan.

Namun, segala perancangan kini perlu diubah. Kita perlu perkecilkan skop ini dan golongan lelaki di rumah perlu memainkan peranan sewajarnya dalam beribat.

Itu kita berbicara mengenai ibadah, ada lagi yang pastinya membuat semua termenung menjelang berbuka. Yang dimaksudkan ialah juadah berbuka puasa.

Kali ini, peranan golongan wanita pula. Pasti mereka sibuk ‘bertukang’ di dapur untuk menyediakan juadah berbuka kerana sebelum ini boleh singgah ke bazar.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan semua bentuk bazar Ramadan dibatalkan bagi mengelak penularan Covid-19 ternyata ia juga berbeza dengan tahun sebelumnya.

Tidak kurang juga peniaga bazar Ramadan yang rata-rata termenung panjang memikirkan periuk nasi mereka. Kebanyakkannya meletakkan sasaran keuntungan yang tinggi setiap kali Ramadan tiba.

Bagi mereka yang menjadikan bazar sebagai pilihan utama, tahun ini menjadi peluang bagi membuktikan kemahiran memasak dan mencuba resipi untuk kudapan seisi keluarga.

Apa yang pasti, kita semua berharap Ramadan kali ini dapat ditempuhi dengan penuh kesempurnaan dan selain berharap segala ibadah diterima Ilahi.

Mari sama-sama kita berdoa, agar usaha memerangi virus Covid-19 ini membuahkan hasil. Terima kasih atas pengorbanan barisan hadapan negara.

Jika Ramadan ini kita tidak dapat sambut bersama keluarga, biarlah Hari Raya Aidilfitri nanti kita dapat pulang ke kampung menyambutnya bersama keluarga.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here