Rasulullah larang pertikai kebaikan orang

0
159

CYBERJAYA- Amal makruf yang dilakukan seseorang tidak wajar dipertikaikan, sebaliknya perlu disambut baik dan dijadikan contoh di dalam kehidupan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman berkata, perkara itu diajar Rasulullah yang melarang perbuatan mempertikai kebaikan yang dilakukan orang lain.

Katanya, ia jelas menunjukkan tindakan itu salah disisi syarak kerana Islam menyuruh kepada perbuatan makruf dan meninggalkan kemungkaran.

“Itu adalah asas yang melihat kemuliaan umat Islam itu, bukan hanya beriman kepada Allah SWT tetapi perlu membuat kebaikan.

“Mungkin sebahagian daripada kita lupa mengenai perkongsian amal makruf ini juga sebahagian daripada mengajak orang berbuat baik. Mungkin mereka tidak pertikai amal makruf itu tetapi kepada individu yang melakukannya, itu juga tidak boleh,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Beliau mengulas isu pendakwah Ustaz Ebit Lew yang dikecam oleh segelintir golongan agama kerana memberikan bantuan kepada sebuah keluarga di Kedah baru-baru ini.

Katanya, sepatutnya orang ramai, khususnya mereka yang digelar ahli agama menunjukkan contoh yang baik, atau hanya berdiam diri sekali pun tidak menyukai tindakan yang dilakukan.

“Rasulullah juga kalau tidak suka makan sesuatu, baginda akan diam. Itu dari segi makanan, sama juga perkara lain. Jadi kita kena ikut begitu.

“Jika menyerang secara terbuka begitu, ia juga tidak ada adab,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya umat Islam berpegang kepada al-Quran yang menyuruh kita berpesan-pesan dengan kebaikan dan kebenaran.

Katanya sepatutnya setiap orang merestui kebaikan yang dilakukan dan bukannya menghentam, caci maki sehingga tidak mencerminkan akhlak orang Islam.

“Orang yang bantu itu ikhlas, nampak orang susah dia bantu, jadi kenapa orang lain nak pertikai, mungkin kita terikut-ikut dengan cara pihak tertentu, jadi saya nasihatkan kita ubahlah. Sesuai pula kita nak sambut Ramadan, ambil mana yang baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here