Ratusan ribu ucapan Hari Lahir buat Dr Noor Hisham dari rakyat Malaysia

0
874

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Laman Facebook peribadi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini dibanjiri ucapan selamat hari lahir oleh pengguna dan pengikut Facebooknya sempena ulang tahun kelahiran beliau hari ini.

Disamping ribuan ucapan selamat ulang tahun, rakyat Malaysia turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada tulang belakang Kementerian Kesihatan itu yang menjadi tunjang barisan hadapan rakyat Malaysia memerangi wabak pendamik Covid-19.

Dr. Noor Hisham Abdullah, anak kelahiran Sepang, Selangor menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 hari ini.

Biarpun beliau membuat beberapa hantaran mengenai aktiviti kementerian dan status terkini Covid-19, bukan berkaitan peribadi, namun sejak semalam lagi ucapan selamat hari lahir dititipkan rakyat berbilang bangsa di ruangan komen.

“Selamat hari lahir Datuk, semoga Allah limpahkan rahmat dan kasih sayang buat Datuk sekeluarga. Terima kasih menjadi barisan hadapan untuk Malaysia, “ucap Fida MG.

” Happy birthday Datuk Noor Hisham. Semoga sihat dan terus cemerlang sebagai panglima hadapan memerangi Covid-19. Thank you for all your hard work,” ucap Ku Azah Ku Mohamad.

Chaterine Cheah pula mengucapkan ‘Happy birthday to our hero : Dato Dr. Noor Hisham! We are blessed to have you. May you be happy and healthy always.

C. Ramesh pula mengucapkan Happy birthday Datuk Sri, we are so proud of you, Thanks for your dedication especially towards the current pandemic. Always stay safe and healthy!

Menerusi komen-komen yang dibuat, rata-rata rakyat Malaysia berbilang bangsa menyanjung tinggi peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dr. Noor Hisham.

Sementara itu, ketika ditemubual Bernama semalam, Dr. Noor Hisham sempat menyatakan, baginya hadiah paling istimewa sekiranya rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi.

Dr. Noor Hisham meminta semua rakyat Malaysia kekal di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai hadiah hari lahirnya dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa di dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan itu menjadi tumpuan media dan rakyat Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda dunia.

Saban hari, kemunculan anak kelahiran Sepang, Selangor itu di kaca televisyen pada pukul 5 petang, sentiasa dinanti-nantikan bagi mendapatkan maklumat perkembangan mutakhir Covid-19 dan hal berkaitan.

Beliau sebelum ini disenaraikan antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani situasi Covid-19, namun dengan merendah diri Dr. Noor Hisham menyifatkan pengiktirafan itu adalah untuk negara bukan dirinya seorang.

Dr. Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013 menggantikan Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman.

Beliau berbangsa Cina Muslim berkahwin dengan Datin Seri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen dan mempunyai enam orang anak. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here