Raudhah Grocer jadi pilihan orang ramai cari bekalan

0
1083
Pasar raya Raudhah Grocer yang terletak di aras G pusat beli-belah Malakat Mall di Cyberjaya.

RAUDHAH CITY – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini masuk minggu ketiga tidak menghalang orang ramai berkunjung ke Malakat Mall untuk mendapatkan barang-barang keperluan harian di pasar raya Raudhah Grocer.

Walaupun baru tiga minggu memulakan operasi, pasar raya yang menghimpunkan produk keluaran Muslim itu semakin mendapat sokongan termasuk yang datang membeli secara pukal untuk tujuan sumbangan.

Pengurus Malakat Mall, Farah Hazwani Amir Hashim berkata, walaupun operasi pusat beli-belah utama itu ditutup berikutan perintah PKP, pasar raya Raudhah Grocer dibuka seperti biasa.

“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan walaupun pergerakan orang ramai terbatas sepanjang PKP. Pelanggan yang beratur di kaunter bayaran kami masih tidak putus.

“Walaupun populasi penduduk di Cyberjaya ini tidak sepadat tempat lain, syukur kerana umat Islam di kawasan sekitar masih teruja untuk datang ke sini dan memberi sokongan,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Raudhah Grocer merupakan premis perniagaan utama di dalam Malakat Mall yang memulakan operasi pada 13 Mac lalu. Terletak di Persiaran Multimedia, Cyber 12, Cyberjaya, ia merupakan pusat beli belah berkonsepkan pusat perniagaan Islam pertama di negara ini.

Farah Hazwani Amir Hashim

Farah berkata, Raudhah Grocer kini menawarkan lebih 4,000 produk yang mana 80 peratus daripadanya adalah barangan keluaran usahawan Islam.

Selain itu katanya, pilihan orang ramai untuk berbelanja di pasar raya itu terletak pada keselesaan ruang letak kenderaan dan pilihan barang basah yang pelbagai.

“Tarikan utama kami di sini adalah barang-barang basah seperti daging, ikan, sotong, udang, sayur dan buah yang segar.

“Setakat ini kami tidak mengalami sebarang kesuntukan stok. Bekalan makanan asas seperti beras, minyak, gula, gandum dan telur sentiasa ada.

“Pembekal stok makanan memberi kerjasama yang sangat baik untuk menghantar keperluan kami dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya yang kini mempunyai kira-kira 100 pembekal barang di Raudhah Grocer.

Ditanya mengenai keperluan menambah bilangan produk dan pembekal, Farah berkata, setakat ini pihaknya tidak bercadang untuk menerima pembekalan produk-produk baharu sehingga tempoh PKP berakhir.

Sementara itu katanya, sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19, pihak pengurusan premis perniagaan itu kini telah menyediakan alat semburan Virus Buster Nanospray bagi mencegah jangkitan.

“Kami telah mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya untuk memastikan pelanggan-pelanggan kami berasa lebih yakin untuk membeli barang-barang keperluan harian mereka di sini,” katanya. – MT

Pengasas Malakat Mall. Mohd. Fadzil Hashim berdiri di depan ‘terowong’ Virus Buster Nano Spray di pintu masuk utama pusat beli belah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here