Risiko besar hantar penutut di kampus, kawasan sekitar pulang

0
119

CYBERJAYA – Kerajaan akan meneliti dengan penuh mendalam sebelum membuat sebarang keputusan untuk membenarkan penuntut di kampus dan kawasan sekitar pulang ke kampung masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pagi tadi pihaknya telah menerima cadangan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung isu tersebut namum, masih belum membuat sebarang keputusan.

“Kita terima cadangan daripada KPT tadi tapi perlu meneliti dengan lebih mendalam kerana ianya melibatkan pergerakan yang sangat besar.

“Ada kira-kira 80,000 pelajar di seluruh institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara. Jumlah ini belum mengambil kira yang tinggal di rumah sewa yang turut mempunyai keinginan sama,” katanya dalam sidang akhbar PKP hari ini.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berjanji untuk mengusulkan cadangan daripada penuntut yang berada di kampus untuk pulang ke kampung halaman masing-masing berikutan tempoh PKP dilanjutkan dua minggu lagi.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah tersebut terdapat juga penuntut yang mahu pulang ke Sabah dan Sarawak yang memerlukan kerajaan melihat semula isu berkenaan kerana mereka perlu dikuarantin selama dua minggu di sana.

Pada masa sama, katanya, lebih penting ialah mengenai kesan terhadap tahap kesihatan yang bukan sahaja melibatkan penuntut berkenaan namun, penduduk di kawasan yang mereka akan pulang.

“Kementerian Kesihatan melihat ada penurunan daripada jumlah Covid-19 jadi mereka tidak mahu perkara seperti ini menjejaskan usaha mereka dan akhirnya jumlah jangkitan kembali tinggi.

“Isu seperti ini akan menggagalkan usaha kita selama sebulan duduk di rumah sekiranya perkara ini tak diteliti dengan halus sehingga memaksa kita tinggal lebih lama di rumah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here