RM10 bilion bantuan tambahan PKS

0
79

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan pertambahan RM10 bilion peruntukan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej rangsangan tambahan itu dijangka mampu
membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

“Saya menerima maklumbalas daripada persatuan-persatuan PKS dan juga perniagaan kecil atau mikro yang meminta kerajaan meneliti semula manfaat yang mereka terima dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut.

“Saya terima surat, memorandum dan juga pandangan daripada banyak pihak termasuk Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, USAHANITA dan banyak lagi.

“Rata-rata memberi pandangan bahawa perniagaan mereka amat terjejas dan mereka memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak PKS untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

“Di pihak kerajaan kita cuba bantu dengan sebaik mungkin kerana saya sedar bahawa PKS merupakan tunjang utama ekonomi negara.

“Sektor ini menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini dan hampir 40 peratus kepada ekonomi.

“Oleh itu, adalah penting kita pastikan sektor PKS dapat terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda kita semua pada waktu ini,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here