Rohingya berstatus PATI, bukan pelarian UNHCR

0
235

CYBERJAYA – Malaysia adalah bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status serta hak pelarian di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, oleh demikian, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).  

“Namun begitu atas dasar kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan PATI yamg memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh agensi itu menerusi dasar ‘satu kes ke satu kes’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kegusaran awam yang timbul berhubung pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya.

Tambah Hamzah, sehingga Mac lalu, terdapat 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia dan daripada jumlah itu 56.6 peratus atau 101,584 orang adalah daripada etnik Rohingya.

Dalam pada itu beliau berkata, hasil semakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) tidak pernah mendaftarkan pertubuhan atas nama Rohingya atau mana-mana etnik Rohingya di negara ini.

“Justeru, mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah dibawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Oleh yang demikian, pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemukakan sebarang tuntutan kepada kerajaan,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here