Roti canai diselit dadah jenis ganja

0
925

CYBERJAYA- Taktik licik pengedar dadah jenis ganja dengan menyelitkan dua paket dadah dalam gulungan roti canai berjaya dihidu seorang penghantar makanan hari ini.

Kisah berkenaan dikongsikan Ahmad Ezzuan Shah dalam status Facebook miliknya malam ini yang menyatakan beliau ‘terkena’ dengan seorang pelanggan.

“Langit tak selalunya cerah, hari ni aku pulak yg terkena.. Ingatkan masa PKP (Perintah Kawalan pergerakan) boleh buat ‘part time’ grab dengan Bungkusit, dapat jugak menabung untuk kahwin.,” katanya.

Dalan status itu, Ahmad Ezzuan Shah turut memuat naik tiga keping gambar menunjukkan dua bungkusan ganja diselitkan antara dua keping roti canai.

Beliau turut melampirkan gambar laporan polis yang dibuatnya pada pukul 6.53 petang tadi di Balai Polis Gombak.

Antara kandungan laporan berkenaan, Ahmad Ezzuan Shah menyatakan beliau menerima pesanan dari pelanggan bernama Ungku Muhammad untuk mengambil bungkusan di Petaling Jaya.

“Bungkusan berkenaan perlu dihantar ke Setapak untuk penerima bernama Athaf. Saya berada di Gombak, saya tidak sedap hati dan memeriksa bungkusan berkenaan.

“Selepas dibuka, terdapat roti canai dan dua plastik yang mana didalamnya saya syaki dadah jenis ganja.

“Saya berasa takut dan bergegas ke Balai Polis Gombak untuk meminta polis memeriksa bungkusan tersebut. Polis mengesahkan bungkusan itu adalah dadah disyaki ganja.

Dalam laporan itu juga, Ahmad Ezzuan Shah memberitahu beliau sudah memaklumkan kepada syarikat penghantar barangan mengenai perkara itu dan memintanya membuat laporan polis.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here