Sambung PKP? Macam tunggu pengumuman raya…

0
204

APA Khabar Orang Kita… hari ini 10 April 2020, bakal menjadi detik penentu sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara akan disambung atau tidak selepas dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

PKP telah memasuki fasa kedua iaitu pada 1 April hingga 14 April ini, fasa pertama pertama bermula 18 Mac hingga 31 Mac lalu dan pelaksanaannya bagi memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19.

Ramai yang membuat andaian sama ada PKP akan disambung atau tidak. Rata-rata yang tidak sabar untuk menunggu pengumuman kerajaan seolah-olah menunggu tarikh pengumuman Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan tempoh dua minggu PKP fasa kedua adalah waktu yang sangat genting untuk menilai keberkesanaan PKP.

Mengikut rapat sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan itu, kita dapat lihat kes positif Covid-19 mencatatkan jumlah lebih 100 kes setiap hari dan minggu pertama PKP fasa kedua ada yang lebih 200 kes.

Melihat kepada keadaan semasa, pelbagai pandangan dan cadangan dikemukan sama ada oleh pakar kesihatan, pihak keselamatan, ahli politik dan orang ramai agar PKP disambung untuk kesejahteraan bersama.

Malah, ada juga yang mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di empat kawasan ketika ini diperluaskan di semua kawasan zon merah kes Covid-19.

Pandangan dan cadangan dilontarkan perlu diambil perhatian serius, kerana kita belum lagi memenangi peperangan ini dan kita juga belum kalah dalam usaha memeranginya di setiap lokaliti jangkitan.

Berdasarkan draf jangkitan Covid-19, kita dapat melihat ia belum menunjukkan penurunan ketara selain tahap pematuhan rakyat yang masih rendah mengikut jumlah tangkapan menjadi faktor mengapa PKP perlu dilanjutkan.

Melihat situasi semasa ini, kerajaan mungkin tidak mempunyai alasan kukuh bagi menamatkan PKP yang berakhir 14 April ini kerana trend jangkitan Covid-19 masih berterusan selain ada pertambahan kluster.

Pelbagai peringkat kluster yang terdapat di Malaysia juga boleh menjadi faktor untuk PKP ini dilanjutkan, jika sebelum rata-rata hanya menyebut kluster tabligh tetapi kini ada ada banyak termasuk ‘kluster kayangan’.

Mungkin ada bertanya siapa kluster kayangan?, mereka ialah rakyat Malaysia yang baru pulang ke negara ini dan mengikut peraturan mereka wajib dikuarantinkan selama 14 hari di pusat kuarantin.

Apa pun keputusan yang akan diumumkan kerajaan hari ini, kita perlu ambilnya dalam keadaan positif. Jika PKP disambung, ianya untuk kebaikan bersama dan jika PKP tamat pada 14 April jangan terlalu gembira.

Mengapa jangan gembira?, ia kerana wabak Covid-19 ini masih ada bertebaran di merata-rata tempat. Jumlah kes positif masih ada dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan elak berkumpul ditempat ramai.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus turut memberi amaran kepada semua negara supaya tidak tergesa-gesa menarik balik sekatan pergerakan .-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here