“Saya minta maaf, tak berniat nak sakitkan hati sesiapa pun” – Ebit Lew

0
176

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – “Usahlah takut kejian atau penghinaan orang tapi yang paling menakutkan kemurkaan Allah,” demikian luahan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew di akaun Facebook miliknya.

Kelmarin, heboh di media media sosial berhubung tindakan individu yang mempertikaikan kebajikan Ustaz Ebit dalam menyalurkan bantuan sebuah keluarga miskin di Alor Setar, Kedah.

Enggan memanjangkan lagi situasi yang berlaku, Ustaz Ebit memohon maaf kepada semua pihak yang dirasakan tersinggung dengan tindakannya sebelum ini.

“Saya sekali lagi minta maaf pada semua. Saya tak berniat nak sakitkan hati sesiapa pun, betul ni. Maafkan saya ya semua. Saya pohon maaf pada semua. Doakan terlalu ramai lagi orang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Saya jahil, tak pandai. Saya bukan ustaz. Saya bukan sesiapa. Cuma Cina belajar Islam. Terima kasih semua terlalu ramai guru, keluarga dan sahabat mendoakan dan beri semangat. Allah sahaja balas semuanya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kerja amal yang dilakukan bukanlah sesuatu yang baharu baginya malah telah bermula sejak kecil lagi.

“Dah berlalu bertahun dalam kerja khidmat dan berkongsi kasih sayang semenjak kecil. Entah berapa hari lagi yang tinggal. Biarlah baki hidup ini dalam kebaikan.

“Jika Allah takdirkan walau berapa waktu yang tinggal. Masa tu sangat sekejap berlalu. Sedangkan banyak kerja dan amanah yang terlalu jauh daripada sempurna.

“Penat sangat rasa. Tapi bahagia sangat. Syukur pada Allah. Teringat mak dulu senyum bagi nasihat. Tak apa orang buat kita. Jangan kita buat orang. Selalu maafkan orang lain dan doakan semua orang bahagia dan masuk syurga. Kita hidup untuk Allah sayang. Jika ada kebaikan yang Allah terima saya hadiahkan buat arwah mak saya,” katanya.

Ustaz Ebit turut mengharapkan orang ramai turut mengambil peranan dalam menjalankan kerja-kerja amal mengikut kemampuan masing-masing.

“Bagaimana kita boleh lena sedangkan ada orang tidak dapat tidur lena kerana nasib mereka dengan kita tak sama. Walau memberi minum pada kucing atau anjing walau sedikit pun dipandang oleh Allah. Walau kita tak dapat bantu mereka semua. Kita buatlah apa yang kita termampu.

“Belajarlah melihat dengan cinta. Mendengar dengan cinta. Melalui hidup dengan cinta. Janganlah menyalahkan sesiapa kerana setiap kita bertanggungjawab atas diri kita dan masyarakat kita di depan Allah nanti,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here