Sekolah kemungkinan dibuka paling awal sekitar dua hingga empat minggu lagi

0
278

CYBERJAYA – Sektor ekonomi akan diberi tumpuan untuk beroperasi terlebih dahulu sebelum kebenaran diberikan kepada bidang pendidikan dan sosial untuk dibuka semula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu kerajaan akan memantau perjalanan sektor ekonomi dalam tempoh dua hingga empat minggu sebelum membuat keputusan membuka sektor lain.

“Kita cadangkan sekarang tumpuan diberikan kepada sektor ekonomi terlebih dahulu, pembukaan bidang pendidikan dan sosial akan lewat sedikit.

“Kita akan lihat dan pantau terlebih dahulu situasinya dalam tempoh dua hingga empat minggu dan kemudian barulah kita buat keputusan bilakah untuk buka semula sektor pendidikan dan sosial,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bilakah kerajaan bersedia untuk membuka semula sekolah seperti biasa.

Dr. Noor Hisham

Dalam pada itu, ditanya sama ada ia turut melibatkan taska berikutan ibu bapa perlu menghantar anak mereka ketika bekerja, katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Sementara itu, ditanya adakah kerajaan akan membenarkan aktiviti senaman ringan dan sukan dilakukan dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut dan akan menyediakan garis panduan.

“Pihak kementerian sekarang sedang membuat garis panduan bagi setiap sektor dan pengumuman akan dibuat nanti.

“Pada masa sama, kita juga akan melihat garis panduan untuk melakukan aktiviti senaman ringan misalnya tiada kontak rapat terlibat, perlu penjarakan sosial dan tidak boleh berkumpul dalam kumpulan yang ramai,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here