Sektor automotif, kedai gunting rambut, dobi antara dibenarkan beroperasi

0
348

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan sektor automotif, pembinaan, perkhidmatan gunting rambut asas dan dobi (bukan layan diri) antara sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MITI telah memperhalusi beberapa pertimbangan dalam memberikan kebenaran kepada syarikat yang terpilih untuk beroperasi.

“Kebenaran diberikan kepada sektor yang memiliki tahap kepentingan dalam rantaian bekalan global dan eksport negara, gandaan nilai tambah yang tinggi, impak ke atas kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain jumlah tenaga kerja yang terlibat.

“Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

“Keputusan kerajaan ini adalah hasil kaji selidik yang mendapati bahawa penularan Covid-19 bukan sahaja memberi kesan besar ke atas kesihatan, tetapi juga akan membawa mudarat kepada prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri PKS sebagai penyumbang tenaga kerja terbesar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sektor lain yang turut diberikan kebenaran beroperasi adalah industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pada masa sama, perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar; perkhidmatan kedai perkakas atau ‘hardware’, kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai cermin mata turut mendapat kebenaran beroperasi.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pihak syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Selain pematuhan kepada syarat-syarat dan garis panduan yang diperketatkan ini, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan garis panduang oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkait dari semasa ke semasa.

“Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta semasa,” katanya.
Berikutan keputusan itu, syarikat di dalam sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula Isnin depan.
Semua permohonan mestilah dibuat secara atas talian di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my.
Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here