Sektor ekonomi beroperasi sewaktu PKP dibenarkan beroperasi sepenuhnya

0
150
Orang ramai membeli barangan keperluan harian di Raudhah Grocer, Malakat Mall, Cyberjaya

CYBERJAYA – Berkuat kuasa esok, kerajaan bersetuju untuk membenarkan sektor ekonomi yang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu, dua dan tiga meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya.

Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor-sektor ekonomi itu juga dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

Namun begitu, katanya, pihak syarikat wajib mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing.

“Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok. Pihak syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata, keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang semalam membentangkan cadangan berkenaan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang bersidang pada pagi tadi dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh semua menteri besar dan ketua menteri.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif itu akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Katanya, langkah itu sekali gus akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana.

“Sementara Kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan kebiasaan baharu dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here