Selangor lancar Ops Sumber Air pastikan insiden pencemaran tidak berlaku

0
116

SHAH ALAM – Ops Sumber Air yang dijalankan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi berkaitan yang bermula pada Jumaat lepas akan memberi tumpuan khusus kepada lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih.

LUAS dalam kenyataannya berkata, Ops Sumber Air itu yang dijalankan sehingga 31 Mei depan bertujuan memastikan insiden pencemaran tidak berlaku, bagi mengelak sebarang kejadian gangguan bekalan air kepada pengguna pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bulan Ramadan yang akan bermula kelak.

“Operasi pemantauan 24 jam sehari ini akan dilakukan di lembangan sungai utama, lembangan Sungai Selangor, lembangan Sungai Langat dan lembangan Sungai Semenyih,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Operasi berjadual dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama agensi-agensi antaranya Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd, Polis Diraja Malaysia, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Pejabat Daerah & Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

LUAS selaku urusetia Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor akan menyelaras tindakan bersama agensi-agensi terlibat.

Kenyataan itu menambah operasi pemantauan yang dijalankan itu mengambil kira langkah-langkah keselamatan dan kesihatan petugas sepanjang tempoh PKP dan meminta semua pihak memberikan komitmen serta kerjasama bagi memastikan kelangsungan sumber air di Selangor ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here