Semua anggota KKM positif tiada kaitan pengendalian kes Covid-19

0
114
Siasatan KKM mendapati masih tiada jangkitan kepada kakitangan kementerian itu berpunca daripada pengendalian pesakit di wad atau ICU hospital.

CYBERJAYA – Kesemua 138 kes kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang dikesan positif Covid-19 tidak berkait dengan pengendalian kes dari wad dan unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan siasatan sehingga 12 tengahari 2 April 2020, tiada kes anggota kesihatan KKM yang positif berpunca daripada pengendalian pesakit di fasiliti KKM.

Beliau berkata, daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 58 kes yang mewakili 42 peratus kes berkait dengan jangkitan di majlis perkahwinan yang dihadiri oleh individu yang juga menghadiri perhimpunan tabligh di Seri Petaling.

“Selebihnya adalah 14 kes (10.1 peratus) berkait dengan masalah pernafasan dan kes bergejala ringan di mana, mereka tidak tahu atau tidak memaklumkan status mereka. Dua kes lagi daripada kumpulan ini tidak memaklumkan yang mereka telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Ada 9 kes (6.5 peratus) adalah jangkitan dari kontak dengan ahli keluarga yang
positif Covid-19,” katanya dalam sidang media kementerian itu hari ini.

Noor Hisham berkata, baki daripada jumlah itu adalah 6 kes dengan sejarah melawat negara luar, 4 kes dari rakan yang positif Covid-19, 3 kes dari pendedahan semasa aktiviti saringan di lapangan, 2 kes yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan selebihnya 42 kes masih dalam siasatan,

Katanya, KKM melahirkan penghargaan tidak terhingga kepada semua anggota kesihatan KKM, swasta dan juga badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya mereka yang berada di barisan hadapan, bertungkus lumus dalam menghadapi pandemik Covid-19 demi kepentingan Negara.

“Anggota kesihatan juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan, terutama ketika melaksanakan prosedur klinikal,” katanya.

Ujar beliau, KKM menyeru supaya orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan memberi maklumat secara jujur mengenai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, kehadiran ke mana-mana perhimpunan dan sejarah perjalanan ke luar negara sebagai langkah pencegahan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here