Semua pelabuhan beroperasi penuh esok

0
366

CYBERJAYA – Kermenterian Pengangkutan mengarahkan semua pengendali pelabuhan di seluruh negara membenarkan mana-mana syarikat yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengikut polisi Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneruskan aktiviti mereka berkuatkuasa esok.

Menterinya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan itu selari dengan keputusan kerajaan hari ini yang bersetuju sektor-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan memulihkan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan.

Tambah beliau, mereka perlu kembali bangkit selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 sebagaimana cadangan MKN bagi menyelamatkan pekerjaan, mengembalikan pendapatan negara dan memberi keyakinan kepada pelabur.

“Bersandarkan keputusan ini, semua syarikat dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

“Walau bagaimanapun, syarikat yang mendapat kelulusan untuk beroperasi haruslah mematuhi garis panduan ketat demi menjamin kesihatan dan keselamatan para pekerja seperti mempraktikkan jarak sosial dan menitikberatkan soal kebersihan,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Tambah Ka Siong, syarat itu turut dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti import dan eksport bagi kedua-dua jenis barangan keperluan penting dan tidak penting di pelabuhan yang akan dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.

Beliau berkata, kerajaan juga akan terus memantau perkembangan semasa pandemik Covid-19 untuk menentukan sama ada membenarkan penyambungan semula semua sektor ekonomi dan subsektor lain mengikut ketetapan MKN.

Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan telah membenarkan kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan utama negara bagi Fasa Keempat yang bermula 20 hingga 23 April lalu.

Kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan yang terlibat seperti Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Labuan.

Selain itu pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak telah berjaya mengalihkan kontena-kontena yang sesak di pelabuhan dengan cepat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kesihatan yang termaktub di bawah peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ka Siong berkata, bagi prestasi pengendalian kontena import, terdapat beberapa pelabuhan yang mencatatkan prestasi pengendalian yang baik dan lancar berdasarkan kepada kadar kapasiti penggunaan lapangan kontena (container yard) antara 20 hingga 50 peratus.

“Pelabuhan tersebut ialah Pelabuhan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, Kuantan, Bintulu, Labuan, Sibu, Kuching, Miri dan Sandakan. Sementara Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Utara (Northport) dan Tawau pula mencatatkan kadar kapasiti 50 hingga 60 peratus.

“Pelabuhan Barat (Westports) dan Tanjung Bruas pula mencatatkan kadar penggunaan lapangan kontena melebihi 70 peratus,” jelas beliau.

Beliau berkata, bagi prestasi pengendalian kontena eksport, Pelabuhan Pasir Gudang, Kuantan, Labuan, Sibu dan Sandakan mencatatkan kesesakan di bawah 50 peratus.

“Pelabuhan Barat (Westports) berada di antara 50 hingga 60 peratus, sementara pelabuhan Tanjung Bruas dan Miri pula melebihi 70 peratus,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan pencapaian di atas, terdapat perbezaan kadar penggunaan lapangan dan pengendalian kontena eksport di antara pelabuhan yang mungkin dipengaruhi faktor jumlah pengeluaran output dari kilang untuk dieksport yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti sepenuhnya sepanjang tempoh PKP.

“Kementerian akan terus memantau keadaan semasa berkaitan logistik dan pengangkutan yang mempengaruhi syarikat-syarikat dalam tempoh PKP dan akan mengesyorkan polisi yang berupaya mengurangkan implikasi ekonomi,” jelasnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here