Sesi persekolahan ditangguhkan – Perdana Menteri

0
80
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Kerajaan akan menangguhkan dahulu sesi persekolah sehingga benar-benar yakin keadaan kembali pulih daripada jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut diambil berikutan terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka.

“Saya juga baca komen-komen ibu-bapa di Facebook. Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak.

“Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara-saudari saya pun bimbang juga. Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya. Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau telah meminta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga sekolah dibuka semula.

Dalam pada itu, katanya, walaupun keadaan di Malaysia kembali pulih, terdapat negara yang masih terkesan dengan wabak tersebut termasuk negara jiran.

Berikutan itu,katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, Rela dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

“Kita mesti ingat bahawa bukan negara kita sahaja yang terkesan dengan wabak ini. Seluruh dunia terkesan termasuklah negara-negara jiran kita.

“Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini. Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here