CYBERJAYA – Tular dalam laman sosial Facebook terdapat satu laman sesawang yang melakukan aktiviti penjualan MyKad palsu kepada warganegara asing pada harga AS$300.
Perkara tersebut didedahkan seorang pengguna akaun Facebook dikenali sebagai Adam Danyal yang memuat naik alamat sebuah laman web melakukan aktiviti penjualan tersebut.
Menerusi carian dalam alamat www.allgenuinedocuments.com didapati bukan MyKad sahaja yang dijual malah turut menjual kad pengenalan, lesen memandu dan pasport dari United Kingdom, Belgium, Belanda, Itali dan Ireland.
Menerusi ruangan komen terhadap penjualan Mykad, para pembeli berpuas hati dengan MyKad diterima mereka.
Mendapat lima bintang dalam ruangan komen tersebut, sindiket itu turut menawarkan kad identiti lain seperti Mykid, MyPR, MyTentera dan MyPolis.
Berdasarkan komen yang disiarkan kebanyakan penjualan Mykad tersebut bermula pada awal Januari 2018.
Mereka menyifatkan berpuas hati dengan pembelian MyKad itu kerana ia nampak asli dan tiada tanda-tanda pemalsuan.
Bagi Naib Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari, beliau terkejut dengan pendedahan yang dilakukan oleh sebuah akaun Facebook dikenali Jabatan Netizen Malaysia mengenai perkara itu.
MOHD. NOR IZZAT MOHD. JOHARI
“Mudah dan senang. Lima bintang diberikan kepada penyedia MyKad palsu. Semenjak ada Jabatan Netizen Negara (JNN) wujud, ada positifnya.
“Rasa-rasanya, 100,000 pelancong China dan India yang tak dapat dikesan tu, ada order (tempah) tak?,” soalnya dalam hantaran melalui akaun rasmi Facebook miliknya sebentar tadi.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat Johari turut membuat perkiraan berdasarkan jumlah MyKad yang dijual oleh sindiket terbabit.
“Cuba kita kira, AS$300 x 100,000 bersamaan AS$30,000.00 sahaja. Tak balik modal berniaga jual Mykad ni. Rugi. Patutlah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia buat tak serius sahaja dengan isu ‘kehilangan’ 100,000 pelancong China dan India,” sindir beliau.
Cikgu Izzat juga meminta warga maya terus menurunkan tandatangan petisyen Tuntutan Kad Pengenalan Baharu menerusi https://www.change.org/KadPengenalanBaharu . – MT