Sisa klinikal bertambah sepanjang Covid-19

0
201

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembuangan sisa klinikal di negara ini meningkat kepada 27 peratus bulan lepas berbanding 17 peratus pada Februari berikutan penularan wabak Covid-19.

Tuan Ibrahim berkata, peratusan itu juga lebih tinggi berbanding purata tahun sebelumnya, dengan pembuangan sisa meliputi sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta pakaian yang didapati dari pusat kesihatan dan klinik meningkat susulan penularan wabak.

“Justeru, kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar akan memastikan sisa buangan itu diurus dengan sempurna, kami pungut setiap hari dan kami pantau syarikat konsesi yang dilantik kerajaan bagi memastikan sisa itu dibuang dengan betul sekali gus mengelak pencemaran alam sekitar,” katanya seperti dilapor Bernama.

Tuan Ibrahim dijemput menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Dalam pada itu, menurut laporan itu lagi Menteri itu berkata, bagi memastikan bekalan air berterusan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengarahkan operator air negeri untuk meningkatkan baki klorin dalam bekalan air bersih daripada 0.2 bahagian per juta (ppm) kepada 0.5 ppm.

Beliau berkata, penambahan itu selaras dengan panduan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memastikan rawatan air lebih baik dalam situasi pada masa ini.

“Bagaimanapun, penambahan itu masih lagi dalam had yang dibenarkan dan orang ramai tidak perlu risau tentang penggunaan air tersebut,” katanya.

Beliau berkata, syarikat operator juga perlu sentiasa memastikan bekalan air mencukupi dan membaiki sebarang kerosakan dan kebocoran paip dengan segera supaya sumber air yang disalurkan kepada penduduk tidak terputus, selain memantau kualiti bekalan air tersebut.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here