Status pesalah langgar PKP yang dihantar ke penjara dibincang tiga agensi kerajan

0
158

CYBERJAYA – Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara diminta berbincang bersama-sama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung hukuman penjara yang dikenakan terhadap pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, persetujuan itu diberikan berikutan timbul isu bahawa Jabatan Penjara meminta mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar PKP.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan ini kerana pihak Jabatan Penjara bimbang wabak Covid-19 akan menular ke penjara pula.

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP bersetuju supaya Pejabat Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara berbincang isu ini supaya dapat diselesaikan segera,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pelaksanaan PKP hari ini.

Semalam tular mengenai surat yang ditujukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Zulkifli Omar kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berhubung perkara berkenaan.

Zulkifli melahirkan kebimbangannya kerana setakat ini sejumlah 73,000 banduan ditempatkan di 50 penjara di seluruh negara yang sewajarnya hanya mampu memuatkan 52,000 banduan.

Berdasarkan rekod Jabatan Penjara pula menunjukkan sehingga 1 April lalu seramai 378 orang telah dikenakan hukuman penjara atas kesalahan perlanggaran PKP.

Lebih membimbangkan apabila jabatan itu tidak mengetahui sama ada tahanan baru yang dihantar ke penjara dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Keadaan tersebut dibimbangi akan menyebabkan tahanan penjara dijangkiti Covid-19 sekali gus menimbulkan situasi lebih rumit kepada negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here