Sultan Ibrahim sumbang ventilator bagi kegunaan hospital di Johor

0
139

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 42 ventilator bagi kegunaan hospital-hospital di negeri Johor.

Dalam satu kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, baginda berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Aman Rabu.

Titahnya, sumbangan berkenaan disampaikan Baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Bantuan ventilator yang kita sampaikan ini juga merupakan sumbangan daripada dermawan dan juga rakan-rakan saya lain.

“Saya amat memahami pada situasi masa kini, hospital-hospital amat memerlukan peralatan ini khususnya bagi kegunaan pesakit.

“Ini merupakan kerjasama di antara saya, rakan-rakan, dermawan dan juga kerajaan negeri bagi bersama-sama mengurangkan beban kerajaan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Baginda bertitah, ventilator berkenan akan diagihkan kepada hospital-hospital kerajaan di seluruh Johor mengikut keperluan oleh Pengarah Kesihatan Johor.

“Bukan mudah untuk mendapatkan peralatan ini lebih-lebih lagi ketika musim penularan wabak Covid-19. Kita berusaha keras untuk mendapatkannya.

“Jika ada lagi pihak yang sudi untuk memberi sumbangan kepada YSIJ, kita mungkin dapat mengusahakan lebih banyak untuk kegunaan hospital-hospital,” titah Baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here