Sultan Nazrin minta pemimpin tunjuk contoh terbaik pematuhan PKP

0
155

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menitahkan para pemimpin mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu supaya menjadi teladan kepada rakyat.

“Baginda turut menyeru agar mereka yang berada di peringkat kepimpinan mempamerkan sebaik contoh teladan kepada rakyat jelata dengan mematuhi sepenuhnya PKP,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Perak, Kol (B) Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor menerusi satu kenyataan.

Abd. Rahim yang dipetik Bernama berkata, Sultan Nazrin turut bertitah supaya rakyat bersedia berkorban untuk satu tempoh yang diperlukan demi kesejahteraan jangka panjang dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim peka dan memahami kesusahan serta kerumitan yang dihadapi rakyat ketika mematuhi arahan PKP, terutama bagi yang bekerja atau berniaga secara harian yang putus mata pencarian dan pendapatan disebabkan perintah tersebut,” kata Abd Rahim.

Abd. Rahim berkata, bersempena Ramadan ini, Sultan Nazrin turut menasihati umat Islam agar memahami, menghargai dan membantu segala usaha serta penat lelah petugas barisan hadapan yang meletakkan diri dalam bahaya untuk menangani penularan serta merawat pesakit Covid-19.

“Baginda amat memahami ikatan dan sentimen umat Islam semasa Ramadan, jika menurut tradisi melakukan pelbagai aktiviti ibadah secara beramai-ramai bertujuan mengimarahkan masjid dan surau,” katanya.

Abd. Rahim berkata, Sultan Nazrin bertitah agar umat Islam kekal menjalankan pelbagai ibadah pada bulan Ramadan dengan melakukannya bersama keluarga di rumah masing-masing.

Beliau berkata, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut menzahirkan rasa dukacita kerana majlis berbuka puasa untuk meraikan rakyat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang menjadi kelaziman setiap kali Ramadan tidak diadakan tahun ini sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19.

Pada masa sama, katanya, Sultan Nazrin, Raja Muda Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah pada tahun ini juga tidak berangkat untuk berbuka puasa serta bersolat di masjid-masjid di seluruh daerah sepanjang Ramadan.

Menurut Abd. Rahim, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam dan turut mengajak rakyat berdoa semoga keadaan kembali pulih seawal mungkin bagi membolehkan kehidupan berjalan seperti biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here