Surat berserta gelang untuk Dr. Noor Hisham dari murid Tahun 3

0
2783

CYBERJAYA – Selepas pengiktirafan daripada pelbagai pihak, kegigihan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini mendapat penghargaan seorang murid cilik dari Terengganu.

Melalui sepucuk surat yang ditulis sendiri, Lara Khadijah McAfee, murid Tahun 3 bukan sahaja memberikan kata-kata penghargaan kepada Dr. Noor Hisham bahkan lebih istimewa menghadiahkan seutas gelang tangan.

“Saya membuat loom band (gelang) untuk rakan-rakan saya sebagai tanda persahabatan.

“Saya telah membuat seutas loom band untuk anda sebagai tanda terima kasih atas segala kerja keras yang anda lakukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sepanjang wabak Covid-19 ini,” kata murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu itu.

Ucapan penghargaan yang diluahkan itu dipercayai sebagai mengenang pengorbanan dan usaha Dr. Noor Hisham dan pasukannya memerangi wabak Covid-19.

Melalui surat bertulisan tangan menggunakan helaian buku latihan sekolah itu, Lara Khadijah turut merujuk Dr. Noor Hisham sebagai rakan baharunya.

Siapa sangka surat bertarikh 19 Mac lalu itu akhirnya dibalas semalam.

Dr. Hisham mengucapkan terima kasih di atas pemberian gelang oleh Lara Khadijah.

“Saya tidak melakukannya sendiri. Saya bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang hebat untuk membantu negara kita. Rakyat Malaysia seperti anda juga memainkan peranan dengan duduk di rumah. Jadi teruskan usaha yang baik ini dan bersama-sama, kita dapat menentang virus ini,” katanya.

Dr. Hisham juga menitipkan nasihat kepada Lara supaya belajar bersungguh-sunggu agar dapat berbakti untuk negara kelak.

“Suatu hari nanti, akan tiba giliran anda untuk membantu Malaysia. Ikut impian anda dan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya mengakhiri surat dengan merujuk dirinya sebagai sahabat baharu anda.

Lara Khadijah bersama ahli keluarganya yang tinggal di Kuala Terengganu. – Gambar sosial media.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here