Syarikat dibenarkan beroperasi wajib ikut SOP

0
235

CYBERJAYA – Sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi oleh kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajib mengikuti syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kebenaran itu juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan.

Tambah beliau, pematuhan itu seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat semasa mereka membuat permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang PKP.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mendapat garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat dari KKM untuk diguna pakai oleh syarikat yang dibenarkan beroperasi. 

“MITI juga telah mewajibkan supaya syarikat terbabit mesti mengemukakan senarai pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP dan memastikan pergerakan mereka hanya terhad dari rumah ke kilang atau premis sahaja,” katanya dalam sidang akhbar khas di Putrajaya hari ini.

Mohamed Azmin menambah, syarikat terbabit hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan serta saringan gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

Beliau berkata, bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkodkan dan disimpan untuk tempoh kira-kira tiga bulan sebagai rujukan.

Menurut beliaum sebagai langkah keselamatan menjamin semua pekerja syarikat terbabit bebas Covid-19, MITI bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu pekerja diwajibkan menjalani saringan Covid-19.

“Majikan yang memohon untuk beroperasi perlu memastikan pekerja menjalani saringan lebih 3,000 panel klinik kesihatan Perkeso di seluruh negara mengikut garis panduan ditetapkan oleh KKM,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here