Syukur kita tidak seteruk negara lain

0
309
Pengumuman lockdown di India yang menyaksikan jutaan warga kota keluar meninggalkan New Delhi semalam.

SAMA ada secara kebetulan atau tidak, pertukaran pucuk pimpinan dan penyelesaian kemelut politik negara yang berakhir sebelum penularan Covid-19 di negara ini seperti telah diatur cantik oleh Allah SWT.

Keadaan sudah pasti tidak menentu jika perebutan kuasa antara pemimpin masih lagi tidak berkesudahan. Dan kita rakyat jugalah yang menjadi mangsa ketaksuban kuasa mereka.

Ketika krisis kesihatan yang meruncing itu membadai masyarakat seluruh dunia, kita rakyat Malaysia masih bernasib baik kerana sempat mengambil langkah yang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jangkitan.

Meskipun kejayaan belum terbukti sepenuhnya. Usaha kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dengan penglibatan pelbagai agensi pihak berkuasa berjaya menurunkan graf kes dengan ketara berbanding negara-negara lain.

Walaupun tidak dibantu teknologi pemantauan secekap China dan Korea, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan menjadi ‘penyelamat’ kepada malapetaka yang lebih besar di negara ini.

Keputusan kerajaan melaksanakan perintah ‘StayAtHome’ itu tepat pada masanya dan tempoh yang kita lalui sekarang pasti dikenang oleh kita semua apabila wabak ini berakhir.

Dalam kesusahan dan kegusaran hati yang dialami oleh segenap lapisan masyarakat, kita tetap perlu bersyukur pada nikmat yang masih ada atau pada peluang yang masih tinggal.

Setidak-tidaknya kita rakyat Malaysia dapat melupakan seketika sengketa politik, perbezaan ideologi dan kebencian yang selama ini tertanam tanpa asas.

Di saat ini jugalah kita sama-sama dapat menghargai pengorbanan petugas di barisan depan negara yang berjuang untuk memenangi ‘perang’ demi ahli keluarga mereka dan kita rakyat Malaysia.

Bahkan sejak berabad-abad lamanya, tidak pernah ada satu saat yang mana kita masyarakat pelbagai kaum lebih memerlukan antara satu sama lain seperti sekarang.

Tanpa dikerah ke medan peperangan untuk bertempur,
perjuangan kita hanya cukup dengan tinggal di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial.

Kita jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan rakyat di negara lain. Lihat sahaja apa yang berlaku di India selepas kerajaannya mengumumkan lockdown, semalam.

Di New Delhi, bandar yang dihuni oleh lebih 20 juta penduduk menyaksikan penghijrahan terbesar warga kota yang lari meninggalkan pekerjaan dan harta benda untuk pulang ke kampung halaman.

Di hati mereka, penularan wabak Covid-19 bukan lagi kerisauan utama. Apa yang lebih membimbangkan adalah kelangsungan hidup ekoran bekalan makanan yang tidak mungkin bertahan, terutama dalam kalangan pekerja yang menerima gaji harian.

Melihat pada siaran gambar dan video oleh BBC semalam sahaja sudah cukup memilukan. Diuji dengan sistem pengangkutan yang tidak mampu menampung pergerakkan jutaan penduduk kota, ramai yang terpaksa berjalan kaki sejauh beratus kilometer.

Lebih bernasib baik lagi, rakyat negara ini masih boleh keluar untuk membeli barangan keperluan harian dan melaksanakan tugas-tugas yang tidak dapat dielakkan.

Di Malaysia, situasi yang hampir sama juga berlaku pada malam hari pertama penguatkuasaan PKP di mana hab-hab pengangkutan dan di pekarangan balai polis penuh sesak. Cuma skalanya tidak sebesar yang berlaku di India dan Indonesia.

Tanggungjawab pihak berkuasa di negara yang mempunyai populasi rakyat yang tinggi sudah tentu memerlukan ketegasan tiada kompromi.

Bagaimanapun, tidak seperti petugas-petugas barisan depan, kita sebagai rakyat biasa tidak dapat merasai ‘debaran’ atau ancaman sebenar tentang apa yang bakal muncul daripada perhimpunan itu.

Ya kesannya belum tiba. Dan apabila tiba nanti, kita rakyat Malaysia haruslah belajar daripada kesilapan yang telah kita lakukan itu. Semoga kita boleh terus patuh kepada kawalan pergerakan dan tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

Bagi penulis tidak kiralah berapa lama tempoh PKP perlu dilanjutkan lagi, kita hanya perlu patuh kepada arahan pihak berkuasa demi keselamatan kita semua. Apa pun, sebarang lanjutan tempoh itu juga berkait dengan kepatuhan kita semua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here