Tabung Perubatan KKM terima sumbangan RM174 juta

0
195

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) menerima sumbangan bernilai lebih RM174 juta daripada 216 penyumbang ketika ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba dalam kenyataannya berkata, sumbangan berbentuk wang tunai, peralatan dan perkhidmatan itu diterima daripada pelbagai pihak dalam usaha bersama memerangi Covid-19.

“KKM mengucapkan terima kasih atas sumbangan pelbagai pihak yang prihatin untuk sama-sama mendepani cabaran memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

“Keprihatinan dan sumbangan semua pihak amat bermakna dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan seperti dilapor Bernama.

Dr. Adham berkata, kesungguhan dan kesatuan semua pihak, pelbagai kaum dan agama boleh menjayakan misi menyelamatkan rakyat dan membawa negara ini keluar dari pandemik Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang sedang dikuatkuasakan di seluruh negara mestilah dijayakan. Patuhi PKP, duduk rumah, amal penjarakan sosial dan amalkan kebersihan diri. Kita mesti menang,” katanya lagi.

Tabung Perubatan KKM dilancarkan pada 23 Mac lalu untuk menangani pandemik Covid-19.

Dalam pada itu Dr. Adham menerima sumbangan wang tunai hampir RM13 juta dari pelbagai organisasi untuk Tabung Perubatan KKM di KKM di Putrajaya hari ini.

Selain wang tunai tabung berkenaan turut menerima sumbangan berbentuk peralatan perlindungan diri (PPE), kit ujian, penutup mulut dan hidung serta penginapan percuma di Hotel Ruai Inap Kajang untuk petugas KKM yang terlibat dalam pengendalian Covid-19.

Antara yang menyumbang termasuk Etiqa Family Takaful Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yayasan Waqaf Malaysia, Coway (Malaysia) Sdn. Bhd., Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd. atau Co-Op Bank Pertama, Prokhas Sdn. Bhd., Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia.

Turut menyumbang, Persatuan Farmaseutikal Malaysia (Phama), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Star Medik Sdn. Bhd., Mr DIY Group (M) Bhd., Yayasan Keusahawanan Sosial, Me.Reka Innovative Education Sdn. Bhd., Coast Guard Sdn. Bhd., dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM).-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here