Tarikh pergerakan pulang dari kampung belum ditetapkan

0
130

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kerajaan masih belum memutuskan tarikh sebenar untuk dibenarkan kepada mereka yang terperangkap di kampung pulang ke bandar atau tempat kerja masing-masing.

Beliau berkata, berikutan itu pengumuman yang dibuat oleh pihak polis bahawa kebenaran pergerakan diberikan selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei ini terdapat sedikit kekeliruan.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini sehingga 1 Mei ialah tempoh pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia dan siapa-siapa yang tiada aplikasi itu boleh melaporkan ke balai polis berdekatan melalui temu janji.

“Selepas itu baru kita kumpul input daripada balai polis seluruh negara dan kemudian Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis serta Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dan keluarkan prosedur operasi standard (SOP)
mengenai pergerakan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada polis mencadangkan beberapa SOP yang perlu dipatuhi namun, perkara itu perlu dibincang secara bersama dengan MKN dan KKM terlebih dahulu.

“Selepas itu mereka perlu membawa cadangan ini ke dalam mesyuarat menteri-menteri untuk diluluskan dan kemudian barulah pergerakan itu ditetapkan tarikh.

“Ini kerana ia melibatkan perkara besar dan melibatkan banyak isu. Contohnya macam isu tiada kenderaan untuk pulang dan ada pula yang ada kenderaan tetapi ada lima orang dalamnya.

“Jika ikutkan mereka telah melanggar akta kerana peraturan hanya membenarkan pemandu sahaja membawa kereta berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, perbincangan lanjut perlu dibuat termasuk mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum kelulusan diberikan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here