Tarikh sesi persekolahan sekolah diumum 2 minggu sebelum dibuka

0
232

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan tarikh sesi persekolahan kira-kira dua minggu sebelum dibuka.

Menterinya, Radzi Jidin berkata, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan itu hanya akan dibuat apabila negara benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih daripada Covid-19.

Menurut beliau, pihaknya memahami bahawa ibu bapa bimbang sekiranya mereka tidak dapat membuat persediaan sewajarnya jika pengumuman pembukaan semula sekolah dibuat secara tiba-tiba. 

Beliau berkata, KPM akan sentiasa berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi pembukaan semula sekolah. 

“Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Radzi menambah, pihaknya telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar serta pengajaran dan pembelajaran (PdP)  berlaku dalam keadaan selamat. 

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kira-kira 500,000 guru yang mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian PdP kepada pelajar terus berjalan walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan PKP.

Beliau memberitahu, pihaknya telah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan dengan pembukaan semula sekolah.

“Secara umumnya, dapatan daripada sesi perbincangan ini menunjukkan secara jelas bahawa aspek keselamatan dan kesihatan murid mesti diutamakan,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here