Tawar harga rendah iklan produk PKS di media massa

0
239

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Media massa disaran menawarkan pakej pengiklanan yang rendah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengiklankan produk serta perkhidmatan.

Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, langkah ini penting agar lebih banyak PKS boleh terus berkembang melalui iklan dan meningkat potensi menjana lebih banyak jualan kepada PKS.

“Boleh dikatakan, kita di ambang krisis ekonomi peringkat global. Pada waktu sebegini, salah satu aspek yang dijangka boleh membantu adalah jika pemegang taruh syarikat media massa elektronik, papan iklan, papan iklan elektronik dan cetak termasuk televisyen, radio, akhbar, majalah untuk memberikan kos iklan harga runtuh sempena PKP Covid-19 ini, ” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya syarikat PKS tidak punyai bajet iklan dan pemasaran yang besar, khususnya bagi syarikat yang baru dalam tiga atau empat tahun permulaan serta belum punyai jualan yang stabil.

“Bayangkan ada siaran televisyen mengenakan RM20,000 hanya untuk lima minit ke udara.

“Papan iklan mengenakan RM 150,000 untuk enam bulan.

Radio pula mengenakan purata RM30,000 sebulan untuk lima kali siar selama 30 saat setiap siaran. Ada radio popluar yang mengenakan sehingga RM100,000 untuk sebulan,” ujarnya.

Beliau menambah, papan iklan digital mengenakan purata RM15,000 untuk sekadar iklan 15 saat.

“Itu juga merupakan halangan terbesar bagi kebanyakan syarikat PKS, kewujudan mereka tidak disedari dan tidak diketahui, lalu barangan mereka tidak laku, ” tegasnya.

Jelasnya, syarikat media tidak akan rugi, sebaliknya ia juga merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu ekonomi setempat selain mengejar keuntungan.

“Malah mereka masih boleh mendapat pendapatan besar melalui volume tempahan yang banyak, walaupun hasil periklanan mungkin lebih rendah daripada biasa,” katanya.

Sebaliknya beliau berkata, hal ini tidak berlaku, bahkan ‘airtime’ dan ruangan iklan masih terlalu mahal dan tidak dimampui oleh PKS kecuali sedikit.

“Mungkin boleh dimulakan dengan semua media yang dimiliki oleh kerajaan seperti saluran televisyen TV1, TV2 dan semua radio di bawah naungan RTM,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here