[VIDEO] Terima kasih penderma Zero Hunger, 377 keluarga terima bantuan

0
444

KUALA LIPIS – Misi Zero Hunger dalam membantu golongan memerlukan berikutan pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) di sini tercapai apabila 377 keluarga dari 13 kawasan menerima bekalan keperluan asas.

Program itu dilaksanakan oleh pasukan Zero Hunger Malakat Mall melibatkan 41 sukarelawan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan turut disertai Pengasas Multiracial Reverted Muslim (MRM), Ustaz Firdaus Wong Wai Hung serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Zero Hunger merupakan idea Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim yang menerima maklumat serta aduan daripada golongan B40 yang terputus bekalan berikutan pelaksanaan PKP dalam mebendung Covid-19 di negara ini.

Pengarah Operasi Brainy Ranger Emegency Response Team (BERT), Mohd. Fuad Rahim berkata, program itu merupakan kali kedua dibuat di Pahang selepas pertama kali diadakan di Jengka melibatkan agihan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk Orang Asli.

Menurut beliau, program itu dirancang tiga hari lalu selepas meneliti senarai penerima yang turut dibantu Penyelia APM Kuala Lipis, Datuk Shahrum Mohamad serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Badarudin Abd. Rahaman.

“Kita mengenal pasti 13 kawasan hasil maklum balas daripada pemimpin di sini yang turut membantu dalam pengagihan bantuan itu.

“Antara sasaran kita ialah golongan bumiputera yang terkesan akibat pelaksanaan PKP. Tidak dilupakan kaum-kaum lain seperti Cina dan India yang turut terputus bekalan keperluan asas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan penelitian dibuat kebanyakan penerima terdiri daripada penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah dan kerja-kerja kampung dengan bergantung kepada gaji harian.

Beliau berkata, bekalan asas yang diterima penduduk adalah hasil sumbangan orang ramai yang menyumbang kepada www.sadaqahmarket.com .

Dalam pada itu, Mohd. Fuad memberitahu, sejak program itu dilancarkan sebaik PKP dilaksanakan, pihaknya mendapat maklum balas memohon bantuan di seluruh negara termasuk Sabah Sarawak.

Tambahnya, bagi misi di daerah ini, kebanyakan penduduk tidak dapat membelanjakan duit mereka kerana kedai yang menjual barangan asas kekurangan stok.

Sukarelawan Brainy Ranger Emegency Response Team agih bantuan Zero Hunger di Kuala Lipis, Pahang.

“Misi ini juga adalah untuk membina rangkaian antara Malakat Mall dengan kedai-kedai runcit di sini supaya mereka tidak terputus bekalan asas yang menjadi keperluan utama penduduk.

“Dengan dana yang disalurkan kerajaan baru-baru ini diharap mereka dapat berbelanja membeli barangan keperluan di kedai runcit untuk kegunaan keluarga masing-masing,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here