Terima kasih semua rakyat Malaysia!

0
101

CYBERJAYA – Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada rakyat secara keseluruhan yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu sehingga sekarang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan amat berterima kasih kepada rakyat yang masih bersabar dan menyokong usaha kerajaan dalam meneruskan PKP fasa ketiga meskipun sudah sebulan terikat dengan PKP fasa pertama dan kedua.

“Saya mewakili kerajaan ucap terima kasih kepada rakyat yang patuh pada PKP meskipun terdapat lebih kurang tiga peratus masih berdegil dan tidak patuh arahan PKP.

“Kita juga ingin ucap terima kasih pada barisan hadapan terdiri daripada jururawat, doktor, kakitangan hospital, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela, petugas pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba, penjara, petugas media dan semua pihak yang membantu kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada masa sama, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas di belakang tabir seperti pekerja pembersihan dan lain-lain.

“Saya menyeru marilah kita semua sebagai rakyat Malaysia secara bersama tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik untuk bersama berganding bahu dalam memerangi Covid-19 supaya rantaian ini dapat diputuskan dan PKP yang sedang dilaksanakan ditamatkan,” katanya.

Bermula hari ini, PKP fasa ketiga akan dikuatkuasakan sehingga 28 April ini bagi memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here