Terima kasih, ucapan yang penuh bermakna kepada barisan hadapan

0
477

CYBERJAYA – Ucapan terima kasih oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sesuatu yang biasa tetapi penuh bermakna buat semua lapisan barisan hadapan untuk bersama dalam memerangi wabak Covid-19 di negara ini.

Perdana Menteri berkata, doktor dan jururawat yang berada di barisan hadapan terus melangkah dengan gagah menyelamatkan nyawa orang lain walaupun mengambil risiko setiap kali masuk ke wad.

Menurut beliau, walaupun letih, mereka tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal. 

“Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan.  Terima kasih juga saya ucapkan kepada doktor dan jururawat di hospital swasta.

“Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit Covid-19, hospital swasta menerima pesakit-pesakit bukan Covid-19 untuk dirawat,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen utama hari ini.

Perdana Menteri juga turut mengucapkan terima kasih kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya tanpa menghiraukan cuaca dan hujan demi menjalankan tugas.

“Syabas saya ucapkan. Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, Rela, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih,” ujar beliau. 

Selain itu Muhyiddn turut mengucapkan ucapan sama buat individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. 

“Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat. 

“Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Sama ada Grabfood, Foodpanda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia,” katanya.

Beliau juga menasihati kepada penghantar makanan supaya menjaga kesihatan, keselamatan dan menunggang motosikal dengan berhemah. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here