Terowong disinfeksi tidak mampu bunuh Covid-19, hanya mudaratkan manusia

0
664

CYBERJAYA- Penggunaan terowong disinfeksi bagi proses nyah kuman disahkan tidak mampu membunuh kuman malahan ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan tidak menyarankan penggunaannya sebagai langkah bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap manusia.

“Kementerian telah menerima beberapa permohonan bagi tujuan pengesahan penggunaan ‘Disinfection Box’, ‘Chamber’, ‘Tunnel’, ‘Booth’, ‘Partition’, ‘Gate’ untuk mengurangkan jangkitan Covid-19, di mana ia telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan kementerian.

“Penilaian telah dilakukan terhadap beberapa model peralatan tersebut dari beberapa negara dan juga model-model sedia ada di Malaysia. Adalah didapati bahawa proses nyah kuman oleh peralatan yang dinilai melibatkan seseorang melalui peralatan tersebut untuk tempoh 20 hingga 30 saat.

“Kaedahnya ialah individu akan disembur menggunakan bahan kimia bagi tujuan nyah kuman. Kesemua model yang telah dikaji menggunakan bahan kimia berlainan, penilaian mendapati tiada bukti menunjukkan peralatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, jangka masa 20 hingga 30 saat tidak memadai untuk proses nyah kuman yang berkesan.

“Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia. Tambahan pula bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan (membrane mucosa) seperti di mata dan mulut,” katanya.

Berdasarkan penilaian tersebut katanya, kementerian tidak menyarankan penggunaan kesemua peralatan tersebut sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap manusia.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui segala maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here