Terus patuh PKP untuk putuskan rantaian wabak Covid-19

0
114
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kerjasama dan kepatuhan semua pihak termasuk orang ramai masih diperlukan dalam usaha memerangi serta memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang masih melanda Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia diperlukan meskipun kes positif Covid-19 menunjukkan trend penurunan namun tidak bermakna masyarakat boleh leka dalam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terdapat negara yang berjaya mengawal jangkitan Covid-19 dan melonggarkan PKP mereka namun, akhirnya terdapat peningkatan mendadak selepas kelonggaran itu.

“Ini membuatkan kerajaan perlu mengambil iktibar dari pengalaman negara berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, semalam pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 824 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 603,314 kenderaan.

Katanya, sebanyak 52,380 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,127 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“PDRM telah menangkap 946 individu berbanding 1,174 individu hari sebelumnya, kerana ingkar PKP, merangkumi 822 individu yang di reman dan 124 individu dijamin polis.

“Daripada 946 individu yang ditahan, 433 ditahan di zon merah kerana ingkar arahan PKP manakala seramai 101 individu juga dituduh di mahkamah semalam.

Ini menjadikan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 16,870 individu,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here